You are here: Home PGSLM Syarat & Peraturan
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Search

Gerak Silat Lian

Pertubuhan Gerak Silat Lian Malaysia

Syarat & Peraturan

E-mail Cetak PDF

Syarat-syarat dalam Perguruan Gerak Silat Lian

Bagi memastikan syarat-syarat di dalam Perguruan ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam maka :

  • Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang pesilat Islam, yang mukallaf TIDAK BOLEH dijadikan syarat di dalam Perguruan ini seperti sembahyang, puasa, jangan derhaka kepada kedua ibubapa sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat dalam persilatan ini.

  • Tidak boleh mengaitkan dengan sesuatu pengeras dengan suatu akibat yang dipercayai boleh merosakkan pegangan akidah.

  • Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi-mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.

  • Tidak boleh melakukan gerak jurus atau bacaan tertentu yang mengandungi unsur-unsur minta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk "ghaib". Dalam acara jurus gerak membuka atau menutup gelanggang "Ayat Kebal" atau "Pukulan Angin Maut" atau "Sembelih Ayam Dalam Gelanggang".

  • Tidak boleh mentaati Guru atau seseorang pada perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan Akidah dan Syariat Islam. Sebarang syarat yang bertentangan dengan Akidah Syariat dan Akhlak Islam.

Berkaitan Guru - Perguruan Gerak Silat Lian

GURU - Perguruan Pertubuhan Gerak Silat Lian yang beragama Islam hendaklah bukan terdiri daripada :-

  • Mereka yang melakukan perkara-perkara syirik, samada melalui perkataan, perbuatan atau iktiqad.

  • Mereka yang melakukan maksiat / jenayah, yang bertentangan dengan moral, pemecah belah masyarakat dan menafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.

  • Guru GSL di larang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam persilatan.

Ikrar Sumpah dan Taat Setia

  • Di dalam GSL sumpah tidak di bolehkan sebaliknya hanya ikrar sahaja yang di bolehkan. Pesilat-pesilat tidak boleh taat secara membuta-tuli kepada Guru, mereka hendaklah taat mengikut perintah Guru selama tidak bercanggah dengan kesetiaan perintah ALLAH S.W.T.

  • Di dalam perguruan ini juga, sumpah tidak boleh dibenarkan kepada perkara-perkara yang telah pun diwajibkan di dalam Islam seperti sumpah akan taat setia kepada ibubapa, bersumpah akan taat setia kepada ALLAH S.W.T dan RASUL S.A.W dan sebagainya.

Pantang Larang

  • Suatu pantang larang hendaklah bukan daripada perkara-perkara yang jelas diwajibkan di dalam Islam, seperti tidak meninggalkan sembahyang, jangan berkelahi sesama ahli dan sebagainya.

  • Suatu pantang larang tidak boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan, kerana Islam jelas melarangnya unsur-unsur ini dan ia adalah skyirik.

Perkara-perkara Yang Harus dan Halal Dalam Perguruan Gerak Silat Lian Yang Tidak Boleh Dihukum Haram

Adab Guru Dengan Pesilat-pesilatnya ;

  • Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan tidak pernah bersalah.

  • Guru hendaklah mengelakkan diri daripada dianggap orang yang perlu ditaati secara mutlak.

  • Guru tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.

  • Guru hendaklah melarang pesilat-pesilat memuja, mengagung dan taksub kepadanya.

Adab Sesama Pesilat Di Dalam Perguruan Gerak Silat Lian

  • Seseorang pesilat GSL tidak boleh memberikan hak secara khusus kepada pesilat perguruannya sahaja, seperti ucapan salam, tidak boleh bergaduh sesama ahli dan sebagainya.

Adab Pesilat Gerak Lian Dengan Orang Lain

  • Seseorang pesilat GSL tidak boleh mengutamakan Guru silatnya dan pesilat-pesilat seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajipannya kepada ibubapa, suami, isteri dan ahli-ahli keluarganya.

  • Seseorang pesilat GSL tidak boleh memandang rendah dan hina terhadap orang yang bukan dari keturunan silat perguruannya.

  • Seseorang pesilat yang beragama mesti menjalinkan ikatan persahabatan samada sesama ahli atau orang lain.

Gerak Jurus Dalam Gerak Silat Lian

  • Gerak jurus GSL tidak boleh di kaitkan dengan zat ALLAH S.W.T dan sifat-sifatNya atau merupakan maksud disebalik Kalimah atau nama-nama ALLAH S.W.T atau sifat-sifatNya.

  • Gerak jurus tidak boleh di ertikan sebagai maksud yang tersirat daripada atau jasad Rasullah S.A.W, para malaikat, NABI-NABI dan orang soleh.

  • Gerak jurus GSL tidak boleh dimaksudkan dengan maksud perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan-perlakuan ibadat yang tertentu seperti dua Kalimah Syahadah dan sembahyang.

Amalan Dalam Gerak Silat Lian

  • Dalam Perguruan GSL tidak boleh dan memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, keris, busut dan sebagainya.

  • Dalam Perguruan GSL tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan yang tidak difahami. Objek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat Al-Quran.

  • Dalam Perguruan GSL tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak di fahami maknanya di khuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat Al-Quran.

  • Dalam Perguruan GSL ini di tegaskan tidak boleh meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut dalam agama Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan ketika melakukan amalan GSL.

Penegahan Dalam Perguruan Dalam Silat Lian

  • Tidak boleh melakukan isyarat sembah atau gerak tubuh yang melambangkan ketundukkan yang menyamai atau melebihi ketundukkan yang hanya layak kepada ALLAH S.W.T sahaja seperti tunduk sembah kepada Guru.

  • Tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.

Matlamat Perguruan Gerak Silat Lian

  • Matlamat Perguruan GSL adalah mengandungi matlamat yang baik seperti persilatannya untuk kesihatan tubuh badan, sukan, mendisiplinkan diri, untuk masyarakat, untuk mempertahankan diri dari bahaya dan sebagainya.

  • Matlamat Perguruan ini juga tidak boleh untuk membalas dendam, menuntut bela, membuat aniaya, menakut-nakut dan menggugat orang lain, untuk menanam sifat berani yang keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain untuk memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan / kumpulan ekstrim agama yang melampau di kalangan ahli.

Dengan mengikut garis panduan Sunnah dan Dakwah dalam Perguruan Pertubuhan Gerak Silat Lian Malaysia ini diharapkan para pengamal silat ini dapat menghindarkan diri daripada menyimpang dari ajaran agama Islam yang sebenarnya...InsyaAllah.